MELAZIMI SOLAT SUNAT TAHYATUL MASJID DAN MENINGGALKANNYA MENYALAHI SUNNAH

 MELAZIMI SOLAT SUNAT TAHYATUL MASJID DAN MENINGGALKANNYA MENYALAHI SUNNAH


Solat sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat yang dilakukan ketika mana masuk ke dalam masjid, sama ada solat sunat tahyatul masjid ataupun mengerjakan solat-solat yang lain sebelum duduk. Yang pasti sebelum duduk solat terlebih dahulu. Ia adalah solat yang sentiasa dilazimi oleh Nabi ﷺ. Daripada Abu Qatadah As Salami,  bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :


 إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ. 

Maksudnya :

"Jika salah seorang dari kalian masuk masjid, maka hendaklah ia solatlah dua rakaat sebelum dia duduk."

HR Bukhari : 425, 1097, Muslim : 1166, Abu Daud: 395, Tirmizi: 290 dll

 

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/52)


Betapa pentingnya solat sunat tahyatul masjid berdasarkan hadis daripada Abu Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata :


جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ فَجَلَسَ فَقَالَ لَهُ يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا ثُمَّ قَالَ إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. 

Maksudnya :

Sulaik Al Ghathafani datang pada hari Jum'at, sementara Rasulullah ﷺ  sedang berkhutbah, dia pun duduk, maka baginda pun bertanya padanya: "Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua raka'at, kerjakanlah dengan ringan." Kemudian beliau bersabda: "Jika salah seorang dari kalian datang pada hari Jum'at, sedangkan Imam sedang berkhutbah, maka hendaklah ia solat dua raka'at dengan ringan."


HR Muslim : 1449 Bukhari: 878 dll

Jika khutbah Jumaat yang menjadi syarat sah solat Jumaat pun Nabi ﷺ perintahkan untuk dilakukan solat tahiyatul masjid sebelum mendengar khutbah. Sangat malang jika ada jamaah yang masuk masjid terus duduk tanpa ada rukhsah yang menghalang daripada melakukan solat sunat dua rakaat. Perbuatan sebeginilah yang dikatakan menyalahi sunnah ketika masuk masjid. 


Catatan:

Masa yang terhad, iaitu masa hampir iqamah baru masuk masjid. Dalam situasi ini sebaiknya tidak duduk kerana solat yang akan ditunaikan sudah dikira sama sebagai solat tahyatul masjid... 

والله أعلم .. بارك الله فيكم