HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA MANGSA BANJIR

 HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA MANGSA BANJIR

Ramai yang bertanya khasnya ketika negara dikejutkan dengan musibah banjir yg kini teruk melanda Lembah Klang dan Selangor serta di beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan.  Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan ganjaran pahala atas ujian yang menimpa. 


Ramai yang tampil mahu menghulurkan bantuan. Justeru, ada yang bertanya juga apakah wang zakat boleh diberikan kepada mangsa banjir? Apakah mereka termasuk dalam kategori asnaf? 


Bagi menjawab persoalan ini, Al-'Allamah Dr Yusuf al-Qaradhawi Hafizahullah telah menukilkan dalam kitab beliau Fiqh al-Zakah (2/622) dalam bahagian kelima bab Asnaf al-Gharimin. 


Beliau menyatakan mereka yang terlibat dengan krisis bencana alam adalah tergolong dari golongan asnaf al-Gharimin (orang yang berhutang). 


"Terlebih khusus untuk digolongkan dalam asnaf al-Gharimin ini adalah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam yang menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan yang diperlukan dan menyebabkan mereka terpaksa berhutang (kerana keputusan sumber ketika bencana) disebabkan keperluan memdesak diri dan keuarga mereka. 


Daripada Mujahid mengatakan bahawasanya terdapat tiga golongan yang dikategorikan sebagai al-Gharimin :


Pertama : Mereka yang hilang hartanya kerana banjir


Kedua : Mereka yang hilang hartanya kerana kebakaran


Ketiga : Ketua keluarga yang punya tanggungan (keluarga) namun tiada punca pendapatan 


Dalam hadith Qabisah bin al-Mukhariq al-Hilali sebagaimana riwayat oleh Imam Ahmad, Al-Nasaie dan Abu Daud bahawasanya Nabi s.a.w bersabda kepadanya : 


"Wahai Qabisah! Sesungguhnya tidak dibolehkan meminta (zakat/sedekah) kecuali untuk tiga keadaan. 

Sesorang yang menanggung bebanan kewangan pihak lain lalu berlaku kesulitan namun beliau menahan diri dari meminta. 

Begitu juga seseorang yang diuji dengan bencana lantas beliau kehilangan hartanya maka berhak dia meminta sehingga mencukupi keperluan hidupnya semula. 

Juga seseorang yang terhimpit dengan kesulitan (kemiskinan dan seumpanya) yang diperakui oleh mereka yg dipegang hujahnya di kalangan kaumnya akan keadaannya itu bahawasanya dia dari kalangan yang susah maka dia berhak meminta bahagian dari zakat sehinggalah keperluannya dipenuhi. Wahai Qabisah! Sesiapa yang meminta dari bukan haknya dan memakan dari bukan bahagiannya adalah seorang yg jahat. (Lihat Nayl al-Awtar 4/168).


Dalam kes ini zakat justeru dianggap sebagai satu jaminan (seumpama kontrak takaful) kepada kesan kewangan dan kerugian harta yang menimpa golongan yang dilanda bencana yang diberikan tanpa sebarang bayaran sepertimana pembayaran caruman bulanan."


Oleh itu, golongan yang kena bencana adalah termasuk dalam asnaf zakat dan mereka berhak menerima bantuan berupa zakat, infaq mahupun sedekah.


CADANGAN BENTUK AGIHAN


1. Bagi mereka yang ingin berniat memberi bantuan zakat, disarankan agar menyampaikannya dalam bentuk wang. Ini adalah lebih menepati kehendak zakat dan memenuhi keperluan semasa kerana kos-kos baik pulih, pembangunan semula, dan segala kos berkaitan pasca-bencana adalah melibatkan soal kewangan. 


2. Jika ingin membantu dari aspek barangan dan keperluan ataupun makanan, lebih utama agar diniatkan sebagai sedekah fi sabilillah ataupun infaq umum. Hal ini bagi mengelakkan pertindihan dengan bantuan-bantuan sedia ada yang bersumberkan dana umum selain zakat.


3. Namun, sekiranya barangan keperluan dan makanan hendak diberikan menerusi sumber zakat, maka hendaklah dipastikan barangan tersebut benar-benar diperlukan oleh asnaf sekeluarga (mangsa bencana) yang terlibat secara langsung dan tidak berlaku pembaziran atau sebarang bentuk yang membawa kepada kerugian yang tidak terkawal.


4. Jika sekiranya pemberian dana zakat hendak disalurkan menerusi NGO, pertubuhan kebajikan, yayasan dan seumpamanya, hendaklah dipastikan pertubuhan tersebut menggunakan sepenuhnya dana zakat (sebaik-baiknya diasingkan daripada dana lain) untuk keperluan dan maslahat pasca-bencana dan tidak dibenarkan mengambil sebarang keuntungan daripada dana zakat. Perkara ini tergolong dalam takrifan fi sabilillah dan hendaklah diusahakan dana zakat tidak disalah guna ataupun salah urus.


5. Pemberian zakat menerusi pusat-pusat zakat, kerana pusat zakat juga ada memperuntukkan bantuan untuk mangsa-mangsa bencana.


Semoga segala bantuan dan ihsan kita semua diterima Allah dan semoga segala ujian akan mendatangkan ganjaran pahala yg besar dan berpanjangan buat mereka yang dilanda musibah dan mereka yang membantu. 


Wallahu A'lam.


Tuan Guru Ahmad Husni Abd Rahman

Unit Syariah dan Antarabangsa PPZ-MAIWP