https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/641188/gerhana-matahari-separa-umat-islam-disaran-laksanakan-solat-sunat
Gerhana matahari separa: Umat Islam disaran laksanakan solat sunat gerhana
IPOH: Umat Islam di Perak disaran melaksanakan solat sunat gerhana bagi memenuhi tuntutan sunat muakkad sempena gerhana matahari separa yang dijangka berlaku di negeri ini, lusa.
Jabatan Falak, Jabatan Mufti Perak, dalam satu kenyataan berkata, gerhana matahari separa dijangka berlaku mulai jam 11.18 pagi hingga 3.09 petang, dengan waktu kemuncaknya pada jam 1.11 tengah hari, ketika 85 peratus matahari ditutupi bulan.
“Bagi masjid atau surau yang ingin melaksanakan solat sunat gerhana secara berjemaah, dicadangkan agar ia dapat dilakukan selepas solat zuhur secara berjemaah.
“Bagi yang ingin melaksanakannya secara individu, mereka boleh melakukan sepanjang masa berlaku gerhana matahari,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Lokasi yang paling cantik untuk melihat fenomena ini adalah Tanjung Piai, Johor Bahru kerana bebayang anulus itu akan melalui kawasan tersebut. Untuk Lembang Klang, kita masih boleh mencerapnya tapi dalam keadaan separa sahaja.
Sekiranya anda berminat, anda boleh pergi ke Planetarium Negara kerana di sana, mereka akan menayangkan livestream daripada dua lokasi cerap iaitu Tanjung Piai dan Serian.
Gerhana Matahari Cincin berbeza dengan Gerhana Matahari Penuh daripada segi keadaan bulan yang melindungi matahari. Pada model bumi sfera, dalam fonomena cincin, bulan tidak menutupi matahari sepenuhnya dan nampak seperti cincin.
Peminat astronomi dalam dan luar negara dijangka akan berkampung di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak untuk menyaksi dan merakamkan fenomena astronomi yang unik pada Khamis ini (26 Disember).
Fenomena yang disebut Gerhana Cincin atau dalam istilah astronomi dipaggil Anulus antara yang menjadi tarikan para peminat dan pengkaji dunia astronomi. Mungkin bagi yang tidak mendalami bidang ini, Gerhana Cincin tidak ubah seperti gerhana matahari biasa tetapi peminat astronomi melihat sebaliknya.
Disebabkan berlaku dalam jarak masa dua dekad sekali, maka peminat astronomi dan fotografi tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik yang luar biasa ini. Pada kemuncak gerhana ini akan kelihatan bayang (bulan) berada di tengah-tengah matahari dan lebihan saiz matahari ini membentuk lingkaran cahaya seperti cincin.
Kemuncak Gerhana Cincin ini dijangka berlaku pada 26 Disember pukul 1.21 hingga 1.23 petang di Tanjung Piai sementara di Serian pula pada pukul 1.46 hingga 1.50 petang.
Hampir separuh kawasan bumi termasuk Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Cincin yang bermula dari Arab Saudi, kemudian ke India, Sumatera, Malaysia (Johor dan Sarawak), Singapura, kembali ke Malaysia di Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Lautan Pasifik.
Kenapa terjadi Gerhana Cincin? Secara mudahnya pada ketika gerhana itu berlaku, bulan matahari dan bumi berada pada kedudukan selari di dua tempat yang disebutkan itu. Di tempat-tempat lain di negara ini hanya akan nampak gerhana separa iaitu matahari terlindung dan kelihatan seperti bulan sabit pada pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.
Menurut portal Falakonline, Gerhana Cincin berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari. Tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada Bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.
Oleh yang demikian rata-rata penduduk Semenanjung Malaysia dari Melaka merentas ke Mersing dan terus ke laut ke sebuah pulau kecil bernama Pulau Dayang dan Aur akan menyaksikan satu susunan indah bulan dan matahari pada kedudukan selari.
Menurut portal itu lagi, laluan Gerhana Cincin ini akan bermula dari Semenanjung Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.
Kawasan yang dapat melihat Gerhana Matahari Cincin.