PASANGAN yang ingin melangsungkan akad nikah di Negeri Sembilan tidak lagi perlu bimbang kerana kerajaan negeri membenarkannya mulai Isnin ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat dan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi atau jabatan berkaitan.
Menurutnya, majlis akad nikah itu perlu dilakukan di rumah, premis persendirian atau tempat awam yang dibenarkan.
"Sebelum majlis berlangsung, pemohon perlu menyemak dan meneliti garis panduan majlis akad nikah dan perkahwinan orang Islam di Negeri Sembilan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Pemohon perlu peka dan sentiasa mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sebelum memohon dan melaksanakan majlis akad nikah di rumah atau mana-mana premis.
"Bagi memudahkan pemohon dan ahli keluarga, segala garis panduan itu boleh dirujuk di laman web JHEAINS secara dalam talian dan perlu dipatuhi tanpa gagal," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Antara syarat yang ditetapkan ialah jumlah kehadiran tetamu di premis persendirian tidak melebihi 20 orang manakala bagi yang mengadakan majlis akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), tetamu tidak melebihi 10 orang termasuk pasangan pengantin serta jurukamera.
Selain itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir kecuali wali kepada pengantin perempuan.
Sementara itu, Aminuddin menggesa masyarakat di negeri itu terus mengamalkan normal baharu walaupun keadaan penularan wabak pandemik Covid-19 terkawal dan menunjukkan perkembangan baik.
Beliau berkata, masyarakat tidak alpa sebaliknya perlu sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Orang ramai perlu terus meningkatkan amalan kendiri bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus Covid-19.
"Kita harus ingat bahawa jumlah kes baharu Covid-19 menurun disebabkan oleh amalan kendiri yang diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.
"Saya berharap kita semua, tidak leka ketika berada di luar dan marilah kita bersama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat dengan menerapkan norma baharu dalam kehidupan untuk memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19, capai kejayaan," katanya.
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), terdapat satu kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Seremban semalam menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 995, namun tiada kes kematian baharu Covid-19 dengan kekal sebanyak lapan kes kematian.