TAZKIRAH - SILA BACA DAN CUBA AMALKAN BERSAMA
Rahmat
Untuk Ke Syurga
Penghuni syurga kelak tidak bercakap
perkara yang sia-sia, menyakiti hati orang lain serta tidak berbohong.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada
pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat!
Selamat! (daripada satu kepada yang lain).” (Surah al-Waqi’ah, ayat 25-26)
Selain itu, bakal penghuni syurga
apabila diberikan masa lapang oleh Allah SWT, mereka sentiasa menggerakkan
bibir dengan zikir dan membaca al-Quran.
Apabila melihat betapa tinggi dan
sukarnya kriteria ditetapkan oleh Allah SWT itu, seolah-olah kita tiada peluang
untuk ke syurga.
Memang bukan mudah untuk memperoleh
ganjaran syurga Allah. Malah, Nabi Muhammad SAW juga sangat berusaha untuk
memasuki syurga, bukannya Baginda dengan mudah memperolehnya.
Baginda antara kalangan rasul yang
paling banyak menerima ujian berat sehingga Baginda berjaya menjadi manusia yang
paling disayangi Allah SWT.
Baginda menyatakan, tiada seorang
manusia masuk ke syurga dengan amalannya. Semua orang masuk syurga dengan
rahmat Allah SWT.
Allah SWT memberikan tanda kepada
hamba-hamba-Nya sama ada mereka mati dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Dalam satu hadis dinyatakan, setiap
manusia akan dibangkitkan oleh Allah SWT di padang mahsyar seperti dia dalam
keadaan mati.
Kata ulama, sesiapa yang hidup dengan
penuh ketaatan dan ibadat, nescaya matinya juga akan dalam keadaan taat dan
beribadat.
Sehubungan itu, kita perlu sentiasa
bermuhasabah diri ke arah mana waktu dihabiskan ketika hidup di dunia ini.
Dalam sehari, berapa bilangan kebaikan
dan ketaatan serta ibadat yang kita lakukan? Jika al-Quran langsung tidak
disentuh, tidak beristighfar, tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,
amalan bersedekah sukar dilakukan, maka kebaikan apa yang diharapkan boleh
menyebabkan kehidupan kita diredai Allah SWT?
Tidak cukup hanya menunaikan solat lima
waktu semata-mata kerana ibadat perlu sentiasa ada peningkatan.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri
kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan
seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk
dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang
menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (Riwayat al-Bukhari)
Perkataan rahmat membawa beberapa makna
antaranya ia bermaksud Islam. Tidak semua manusia memperoleh rahmat itu.
Sebagai insan terpilih yang dilahirkan
sebagai umat Islam, rahmat itu perlu sentiasa disyukuri.
Selain itu, perkataan rahmat dalam
al-Quran juga membawa maksud syurga. Ia adalah tempat terlalu istimewa bagi
hamba-Nya yang berjaya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Adapun orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah
rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat
107)
Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi
Muhammad SAW diperlihatkan seluruh isi serta kedudukan syurga dan neraka.
Apabila Nabi Muhammad SAW menceritakan
mengenai neraka, keadaan ahli neraka itu mereka tidak mati dan tidak juga
hidup.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Selain daripada itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.” (Surah
Al-A'laa, ayat 13)
Api neraka itu tersangat panas dan
berwarna hitam. Disebabkan itu, ahli neraka sentiasa merasa kesakitan lalu
mereka memohon kepada Allah SWT untuk keluar.
Namun, golongan itu akan terus kekal di
neraka selama-lamanya. Bagaimanapun, orang beriman masih berpeluang untuk
keluar kerana di dalam hatinya masih berbaki “La ila ha illallah
Muhammadur Rasulullah.”
Buat orang beriman, setiap ujian di
dunia adalah bagi meningkatkan lagi darjatnya di sisi Allah SWT.
Daripada Anas bin Malik, beliau
menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya
ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah
itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh
sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh
keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan
Allah. (Riwayat al-Tirmidzi)
Wallahua'lam.