Kesilapan Biasa Pembaca Al Quran.

Dari Tok Wee
Coretan Malam Jumaat

Kesilapan Biasa Pembaca Al Quran

Hari-hari kita membaca Al Quran kan? Alhamdulillah.

Tapi adakah kita betul-betul yakin bahawa bacaan kita ni betul-betul tepat ?

Ataupun kita hanya syok sendiri sahaja dan acah-acah yakin bahawa bacaan kita tepat?

Disini saya akan senaraikan 5 kesilapan yang ramai orang lakukan ketika membaca Al Quran.

Sila baca ye! Jangan tak baca tau!


1. Makhraj dan Sifat Huruf

Makhraj bermakna tempat keluar bagi huruf.

Sifat pula adalah bagaimana penampilan, rupa dan hak sesuatu huruf tersebut.

Bahasa jawa bagi sifat adalah ‘attribute’.

Ada huruf yang sama tempat keluarnya tapi sifatnya berbeza.

Sebagai contoh, Huruf Dal.

Tempat keluar hurufnya adalah hujung lidah ditemukan dengan pangkal gigi depan atas.

Ini berbeza dengan huruf Dhod. Makhrajnya adalah tepi lidah ditekan ke gigi geraham atas (kanan atau kiri)

Nampak macam bunyi lebih kurang sama.. Tapi ada perbezaan antara keduanya.

Huruf Dal ada sifat Qalqalah (detakan) huruf Dhod pula tak ada sifat Qalqalah.





2. Panjang Pendek

Apa kesilapan yang dilakukan berkaitan bacaan panjang pendek?

Yang panjang dibaca pendek.
Yang pendek dibaca panjang.

Main ‘belasah’ je baca.. Yang penting berbunyi ye?

Panjang pendek ni melibatkan harakat.

Apa pula tu Harakat?

Harakat adalah kadar bacaan panjang.

Ada ayat Al Quran yang dibaca dengan panjang 2 harakat. Ada yang dibaca dengan 6 harakat. Ada pula yang boleh dibaca panjang 2,4,5 harakat.

Daripada pengalaman saya dalam penganjuran kelas Celik Al Quran dan Celik Tajwid‬, memang ramai yang pening nak kuasai bab panjang pendek ni sebab jika bukan tajwid pun hukum Mad ni ada 19 namanya.

Apa hukum Mad banyak sangat sampai 19 ni?

Ha.. bacalah seterusnya.

3. Hukum Mad

Seperti yang saya tuliskan tadi. Hukum Mad ni ada 19 nama.

Ada yang belajar teorinya hafal semua nama-nama Mad tapi tak mengenal.

Kekadang ada yang tahu dan boleh terangkan semula apa beza antara nama Mad ni.

Tapi sayangnya… apabila baca tetap buat kesilapan sebab cuai dari segi praktikal.

Di bawah ni saya senaraikan 19 nama-nama Mad tersebut;

1. Mad Asli Kalimi
2. Mad Asli Harfi
3. Mad Iwad
4. Mad Badal
5. Mad Silah Qosirah
6. Mad Arid Lissukun
7. Mad Lin
8. Mad Silah Thawilah
9. Mad Jaiz Munfasil
10. Mad Wajib Muttasil
11. Mad Lazim Kalimi Musaqal
12. Mad Lazim Kalimi Mukhaffaf
13. Mad Lazim Harfi Musaqal
14. Mad Lazim Harfi Mukhaffaf
15. Mad Tab’riah
16. Mad Tamkin
17. Mad Ta’zim
18. Mad Syahibul Badal
19. Mad Faraq

Apa perbezaaan cara baca setiap Mad ni?
Boleh bezakan dan baca dengan betul tak?

4. Bacaan Dengung

Ada potongan ayat Al Quran dibaca dengan bacaan dengung. Apa itu dengung?

Dengung ialah bunyi yang dikeluarkan daripada hidung dengan kadar 2 harakat.

Yang pasti dengung melibatkan hukum:
1. Idgham Maal Ghunnah
2. Ikhfa Hakiki
3. Iqlab
4. Idgham Mutamasilain
5. Wajibul Ghunnah

Kesilapan yang dilakukan adalah membunyikan dengung kurang daripada 2 harakat.

Bacaan dengung lain adalah pada huruf Mim dan Nun yang mempunyai syaddah di atasnya.

5. Bacaan Sukun

Bagi kesilapan bacaan tanda sukun/mati ni ia adalah melibatkan huruf Qalqalah.

Cara menyebut Qalqalah adalah dengan ada detakan ataupun lantunan pada huruf-huruf qalqalah apabila ianya bertanda sukun.

Huruf Qalqalah di dalam Al Quran ada 5 sahaja iaitu: Qof Tho Ba Jim Dal.

Selain daripada 5 huruf di atas ni bukanlah huruf Qalqalah.

Kesilapan yang biasa dilakukan adalah mempunyikan huruf yang bukan Qalqalah dengan bunyi Qalqalah. ( Thatnin ).

Sebagai contoh:

Huruf Dhod.
Ada pembaca Al Quran yang membuat kesilapan dengan membunyikan Huruf Dhod bersukun dengan bunyi qalqalah.

Ini adalah kesilapan yang perlu dielakkan.

Kesimpulan.

Teruskan belajar, jangan berhenti belajar, jangan ponteng belajar, jangan fed-up, jangan belajar separuh jalan dan teruskan perbaiki bacaan dari semasa ke semasa kalau nak jadi umat terbaik.

Cara terbaik belajar adalah secara Talaqqi Musyafahah.

Apa itu Talaqqi Musyafahah?

Belajar secara berdepan dengan guru.
Pelajar baca guru semak.
Guru baca pelajar ikut.

Adakah boleh belajar dengan menggunakan Al Quran Digital, baca buku tajwid, belajar secara online?

Tak salah pun.. Cuma saya ulang sekali lagi CARA TERBAIK.

Jika belajar dengan Al Quran Digital tu boleh direct tegur dan bersuara jika kita buat kesilapan waktu membaca, belajar je lah dengan Al Quran Digital tu..

Tapi, nanti takut pulak kan tetiba Al Quran tu boleh bersuara dan tegur kesalahan... hihi.

Setiap langkah untuk pergi belajar Al Quran Allah akan berikan sebesar-besar pahala. Tak nak ke? Maka luangkanlah masa untuk pergi belajar Al Quran. Buangkanlah sifat malas dan sebab-sebab lain, kesana semua tu adalah dari hasutan makhluk bernama syaitan.

Sekian.





Wakaf (Tajwid)

Wakaf (Bahasa Arab: وقف‎) dari sudut bahasa ialah berhenti atau menahan manakala dari sudut istilah tajwid pula ialah menghentikan seketika bacaan al-Quran secara memutuskan suara di akhir perkataan untuk bernafas dengan niat ingin menyambungkan kembali bacaan. Terdapat empat jenis wakaf:

Taamm (تام - wakaf sempurna) - apabila berhenti pada satu ayat yang putus, tidak berkaitan atau kena-mengena lagi dengan mana-mana kalimah atau perkataan sesudah ayat tersebut atau di hadapannya sama ada berkenaan lafaz atau makna.

Kaaf (ﻛﺎﻒ - wakaf memadai) - apabila berhenti pada satu ayat yang putus tidak ada kena-mengena dengan satu-satu kalimah atau perkataan sesudah ayat tersebut atau di hadapannya pada lafaz sahaja tetapi ada kena-mengena dalam maknanya.

Hasan (ﺣﺴﻦ - wakaf baik) - apabila berhenti pada satu ayat yang ada kena mengena dengan yang sesudah dan sebelumnya pada lafaz sahaja, dengan syarat yang diberhentikan itu telah memenuhi maknanya.

Qabiih (ﻗﺒﻴﺢ - wakaf buruk) - apabila berhenti pada satu-satu ayat tidak sempurna maknanya yang kadang-kala ayat itu ada berkaitan dengan ayat-ayat yang sebelum dan sesudahnya sama ada pada lafaz atau pada makna.