SYUKUR KEHADRAT ALLAH SWT DI ATAS SEGALA NIKMAT YANG DIBERIKAN-NYA

 


ALHAMDULILLAH, SETINGGI-TINGGI SYUKUR KEHADRAT ALLAH SWT DI ATAS SEGALA NIKMAT YANG DIBERIKAN-NYA.

Pengajaran:

1.  Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244)

2.  Syukur pada istilahnya ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiyah al-Syabramalisi, 1/22)

3.  Bersyukur itu adalah diperintahkan oleh Tuhan. Allah SWT berfirman:

وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: "Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata."

(Surah al-Nahl Ayat 114)

4.  Sebagai orang Mukmin hendaklah kita memuji Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:


هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ


Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”

(Surah al-Naml Ayat 40)

5.  Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: "Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."

(i)  Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWt kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.” (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 20/102)

6.  Sehubungan itu, marilah kita melazimi untuk melafazkan setinggi-tinggi syukur di atas nikmat yang diperolehi dengan berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman AS:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

(Surah al-Naml Ayat 19)


#syukuralhamdulillah 

#stopcovid19 

#kitajagakita 

#staysafe 

#shabas76