Malam Nisfu Syaban: Kelebihan, Doa & Amalan Yang Digalakkan

 Malam Nisfu Syaban: Kelebihan, Doa & Amalan Yang Digalakkan Oleh Muhamad Naim

Apakah amalan-amalan yang digalakkan pada malam tersebut?

Artikel ini akan menjelaskan beberapa kelebihan, doa dan amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada malam tersebut.


Isi Kandungan

Pengenalan: Maksud Nisfu Syaban

Kelebihan-Kelebihan Malam Nisfu Syaban

Amalan Pada Malam Nisfu Syaban

Solat Sunat Nisfu Syaban

Membaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali

Doa Nisfu Syaban

Keistimewaan Melakukan Amalan Pada Nisfu Syaban

Penutup: Khilafiah Pendapat Ulama



Pengenalan: Maksud Nisfu Syaban

Nisfu adalah bermaksud separuh (Nisf)

Oleh itu nisfu syaaban bermaksud separuh daripada Bulan Syaban, iaitu pada malam ke-15.

Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Mengapakah malam Nisfu Syaban begitu istimewa?

Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.


Malam Nisfu Syaaban juga dipanggil:


Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),

Lailatul Baraah (malam pelepasan),

Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)

Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).

Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),

Lailatul Syafaah (malam syafaat)

Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).

Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.



Kelebihan-Kelebihan Malam Nisfu Syaban

Berikut adalah beberapa hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu syaban yang dipetik dari laman Mufti Wilayah Persekutuan.


1.Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.

[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] 


Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah.

[Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]


2.Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”.

[Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] 


Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]


3.Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”.

[Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] 


Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). 

[Lihat: al-Zawajir  ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]


4.Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

"Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.

[Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]


5.Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

"Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.* 

[Majma’ al-Zawaid, 8:68] 


Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. 

[Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]


Tarjih hukum hadis :

Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini

Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya.

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain.

Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal.

Walau bagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit, namun amalan tertentu/khusus pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi. — Mufti Wilayah Persekutuan


Amalan Pada Malam Nisfu Syaban

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Syaban.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya.


 Berikut adalah amalan-amalan yang boleh dikerjakan:

Amalan Pertama : 

Solat Sunat Nisfu Syaban

Solat sunat Nisfu Syaaban adalah termasuk dalam solat sunat mutlak, yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban.

Ia boleh didirikan selepas mengerjakan Solat Maghrib, Isyak atau bersama solat-solat sunat qiamullail.

Sesungguhnya Malam Nisfu Syaaban ini adalah kesempatan untuk menyuci dan memperbaiki diri dengan meminta ampun dan mohon diubah segala yang tercatat dikitab Azali kearah positif bagi menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Cara Mengerjakan Solat Sunat Nisfu Syaaban:

1.Lafaz niat:

Niat Solat Sunat Nisfu Syaban

 Usolli Sunnata Lailati Nisfi Sya’bana Rak’ataini Lillahi Taala 

Niat dalam Bahasa Melayu: Sahaja aku solat sunat malam nisfu Syaban dua rakaat kerana Allah Taala

2.  Rakaat pertama baca surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun.

3.  Rakaat kedua, selepas al-Fatihah baca Surah al-Ikhlas.

4.  Teruskan solat sehingga selesai. Selepas memberi salam, bacalah surah Yasin 3 kali.

Ulama’ khilaf tentang solat ini

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazzali (505H) adalah antara ulama’ yang membolehkannya, dalam kitab Ihya’ Ulumid Din, 1/209-210

Haruslah difahami bahawa mengerjakan solat sunat Mutlak atau solat Sunat Awwabin, boleh dilakukan pada mana-mana malam sekalipun, termasuklah malam Nisfu Sya’ban.

Amalan Kedua : Membaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali


Selepas selesai melakukan solat sunat, bacalah surah Yasin tiga kali.


Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya

Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam ini,

selepas solat fardhu Maghrib dan Sunat Ba’diahnya, dibaca Surah Yaasin 3 kali.


Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, lakukannya selepas Solat Isyak.


Bacalah Yasin dengan niat supaya:

i. Allah memanjangkan umur serta dapat beribadat

ii. Menambah rezeki

iii. Ditetapkan dan meningkatkan iman dan mati dalam husnul khatimah


Amalan Ketiga :

Doa Nisfu Syaban

Selepas selesai membaca Yasin, bacalah Doa Nisfu Syaban.


Antara doa malam Nisfu Syaban yang ma’thur boleh dibaca adalah seperti berikut:


Bacaan Doa Dalam Rumi:

Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Alhamdulillahi Rabbi ‘Alamin Wassolatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrofil Mursalin Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi Wasohbihi Ajmain.

Allahumma Ya Dzalmanni Walaa Yamunnu ‘Alaika Ya DzaljalaaLi Wal Ikraam Ya Dzat-Thauli Wal In’Aami Laa Ilaha illa Anta Zahral-lajin WajaaRal Mustajiirina Wa AmaaNal Kho’iifinn.

Allahumma In Kunta Katabtani Indaka Fii Ummil-Kitaabi Syaqiyyan Au MahruuMan Au Mathrudan Au Muqtaran Alayya FirRizqi FamHu Allahumma BiFadlika Fii Ummil-Kitaab SyaQooWatii WaHirMaaNi Wa ThorDhii RizQii Wa AsBitNi InDaka Fii Ummil-Kitaabi Sa’iidan MarZuQon MuwafFaqon LilKhaiRoti FainNaKa Qulta WaQauLukal-Haqqu Fii KiTaaBikal Mursali YamHullahHu Ma YaSyaa’ Wa YusBiThu Wa’InDaHu Ummul-Kitaab.

iLaaHi BitTaJallil A’Zomi Fii Lailatil Nifsi Min Syahri Sya’Banal MukarRamil-Lati YufRoQu FiiHaa Kullu AmRinn HakiiMin WaYubRomu An TakSyiFa ‘AnNaa Minal BaLaa’i Maa Na’Lam WaMaa Laa Na’lam WaMaa Anta Bihi ‘Alamu InnaKa Antal A’azDzulKariim.

Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi WaSohbihi WaSallam Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad dan sekalian keluarganya serta sahabat baginda.

Ya Allah pemilik (semuanya) baik anugerah dan yang tidak dianugerahi, wahai yang memiliki kebesaran dan kemulian, wahai yang memiliki kurnia dan kenikmatan, tiada Tuhan kecuali Engkau.

Engkaulah tempat berlindung,tempat memohon pertolongan dan pengaman bagi orang yang ketakutan.

Ya Allah, jika Engkau telah menulis di dalam Ummul Kitab nasib kami sebagai orang yang sengsara, atau yang diharamkan mendapatkan kenikmatan, atau yang ditolak, atau yang disempitkan rezekinya, maka demi kemuliaan-Mu ya Allah, hapuskanlah kesengsaraan kami, keterhalangan kami dari nikmat, ketertolakan dan kesempitan rezeki kami.

Dan tetapkanlah di dalam Ummul Kitab yang ada di sisi-Mu, kami sebagai orang yang bahagia, mendapat rezeki, mendapat taufik untuk melakukan kebaikan.

Sesungguhnya Engkau telah berfirman dengan firmanMu yang hak di dalam kitab-Mu yang diturunkan kepada Nabi utusanMu, “Allah (berkuasa untuk) menghapus dan menetap yang dikehendakiNya dan di sisiNya Ummul Kitab.”


Ya Allah, dengan tajalli-Mu yang Maha Agung pada malam nisfu syaban yang mulia ini, yang di dalamnya dipisahkan dan dikukuhkan seluruh persoalan penting, kami mohon agar dihindarkan dari malapetaka yang kami ketahui ataupun yang tidak kami ketahui dan Engkau Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Pemurah dan Maha Mulia.

Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.

Segala puji bagiMu ya Allah, Tuhan pemelihara Alam.

Doa ini ma’thur dan masyhur.

Daripada Ibn Mas’ud berkata:

Tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengan doa ini, melainkan akan diluaskan kehidupannya.”

Pada malam ini juga, sangat baik untuk memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan bertaubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta keampunan Allah untuk ibu bapa dan keluarga kita.


Keistimewaan Melakukan Amalan Pada Nisfu Syaban

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam Nisfu Sya’ban:

1.Telah berkata Imam al-Syafie RA:

Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”.

— Lihat: al-Um, 1:264


2.Ibnu Rajab RA mengatakan:

Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.

— Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247


Oleh itu, hidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti solat sunat tasbih, baca al-Quran, berzikir, selawat, dan berdoa dengan niat:


i. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.

ii. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.

iii. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.

Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.


Penutup: Khilafiah Pendapat Ulama


Terdapat khilafiah pendapat ulama terhadap malam Nisfu Syaban.


Kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.


Terpulanglah kepada kita yang mana dirasakan lebih baik.


Memetik kata-kata Ustaz Muhadir bin Haji Jol:


“Nilailah sesuatu qadhiah (isu) dengan neraca ilmu yang tahqiq (benar), melalui irsyadat (panduan) daripada para masyaikh yang bersanad. Luaskanlah iththila’ (pembacaan) agar bertemu kebenaran.“


Disebutkan:

“Sesiapa yang banyak membaca, maka sedikitlah bangkangannya.”


Walau bagaimana pun, jangan diiktikadkan bahawa malam tertentu sahaja dianjurkan beramal seperti membaca al-Quran dan sebagainya, tetapi boleh dibuat pada bila-bila masa dan tidak semestinya dibaca Yasin 3 kali.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..

Jika Engkau takdirkan panjang usiaku

Tetapkanlah aku di jalanMu

Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu

Teguh menjalankan perintahMu, tunduk pada ketentuanMu.

Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.

Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin


Kongsikan artikel ini:


©️ 2021 Hak Cipta Terpelihara akuislam.com