Tahun ini anda laksanakan korban? Ketahui 3 ciri ibadah ini diterima Allah
KORBAN adalah suatu ibadah yang sangat mulia. Setiap yang bergelar Islam dituntut untuk melakukan ibadah tersebut. Sebagaimana firman Allah:
Maksudnya: "Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [Surah Al-Kauthar: ayat 2]
Apabila tibanya Aidiladha atau hari raya korban pada 10 Zulhijah, ibadah ini dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Melalui ibadah ini, kita dapat menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya, Nabi Ismail.
Pada awalnya, Nabi Ibrahim bermimpi supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail dan mimpi tersebut diceritakan kepada anaknya.
Binatang yang dijadikan korban.
Sebagai seorang nabi yang diutuskan Allah untuk mentaati suruhan-Nya, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menurut perintah tersebut. Akhirnya Allah menukarkan Nabi Ismail dengan seekor haiwan iaitu kibash sebagai gantian sembelihan yang dilakukan.
Justeru, di sini dapat kita renungkan bahawa begitu besar pengorbanan Nabi Ibrahim ke atas anaknya kerana baginda sanggup mengorbankan anaknya sendiri semata-mata atas perintah yang Allah turunkan padanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sikap suka ‘menerakakan’ orang tak bawa untung! Lebih baik doakan, Allah maha pengampun
Namun, adakah ibadah korban yang kita lakukan ini diterima Allah sebagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya?
Apabila kita memahami tujuan sebenar ibadat korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menurut tuntutan-Nya, secara automatik amalan itu menolak tujuan lain seperti menunjukkan kekayaan yang ada pada diri atau sekadar memeriahkan suasana perayaan Aidiladha.
Setiap amal ibadat yang dilakukan perlulah bertujuan untuk meraih keredaan Allah, sekiranya perkara asas itu difahami dengan betul, maka amalan korban akan diterima oleh Allah.
Melakukan sesuatu ibadah kerana Allah.
Dalam melaksanakan ibadat korban, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sama ada oleh orang yang melaksanakan ibadat korban ataupun orang yang menerima pemberian daging korban tersebut.
Perkara ini perlu ditegaskan dan diingatkan kepada semua supaya kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang berkorban, tetapi korban yang dilakukan menjadi sia-sia kerana amalan itu tidak mencapai tujuan yang sebenar kepada Allah.
Oleh itu, antara ciri-ciri korban yang diterima Allah adalah:
1. Ketakwaan kepada Allah semakin bertambah
Firman Allah SWT pada ayat 37 dalam Surah al-Hajj menyatakan hanya amalan korban yang dilakukan atas dasar takwa akan diterima oleh-Nya.
Maksudnya: “Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu. Demikianlah Dia menundukkannya untuk-mu agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.”
Meningkatkan amal ibadah terutama ibadah korban menjelang Aidiladha.
2. Keikhlasan korban kerana Allah
Ibadah korban adalah satu ibadat. Bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji dan umrah, sangat digalakkan untuk melakukan amalan ini.
Oleh itu, jika lakukan ibadah ini dengan penuh keikhlasan, dengan izin Allah pasti ada ganjaran yang Allah berikan pada yang melakukannya. Tetapi perlulah diingat bahawa ibadah ini bukan untuk menunjuk-nunjuk dan bangga diri kerana dapat melakukannya.
3. Mengalami peningkatan ibadah
Istilah korban bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pengorbanan kita itu tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Justeru, dengan melakukan ibadah korban diri kita semakin merasai kemanisan dalam ibadah, mungkin itu petanda bahawa ibadah korban yang dilakukan diredai oleh Allah.
Maka, sama-samalah kita berlumba-lumba dalam meningkatkan amal ibadah terutamanya ibadah korban menjelang hari raya Aidiladha ini.
Semoga dengan sedikit apa yang Allah SWT rezekikan kepada kita, apalah salahnya jika kita melakukan korban sebagai tanda syukur kepada Allah atas pemberian-Nya selama ini.
Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI