Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu lagi.
Rasulullah SAW menyeru umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadat tambahan.
Baginda sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith dari Aisyah RA yang berbunyi:
“Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?
Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
(Muttafaq Alaih)
KELEBIHAN QIAMULLAIL
Banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat qiamullail.
1. DIBANGKITKAN DI AKHIRAT DI TEMPAT YANG TERPUJI
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’: 79)
2. IBADAH YANG MEMBERI KESAN MENDALAM KEPADA JIWA
Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya.
Firman Allah SWT:
إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا – 73:6
“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.”
(Surah al-Muzammil: 6)
3. WAKTU MUSTAJAB BERDOA
Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda yang berbunyi:
“Pada malam hari ada satusaat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”
(Riwayat Muslim)
4. IBADAH YANG DISUKAI ALLAH
Firman Allah SWT :
وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا – 76:26
“Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.”
(Surah al-Insan: 26)
Dalam sebuah hadith lain pula, Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”
(Riwayat al-Tirmizi)
PANDUAL QIAMULLAIL OLEH JAKIM
Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa qiamullail merupakan amalan sunat yang sangat tinggi ganjarannya dari Allah SWT
Amalan ini boleh dikerjakan secara persendirian atau bersama anak isteri di rumah ataupun secara
berjemaah sama ada di masjid atau di surau.
Jika dikerjakan secara persendirian atau bersama keluarga bolehlah dikerjakan di rumah sahaja.
Waktu yang sebaik-baik bangun ialah sepertiga akhir malam (kira-kira jam 3-00 pagi). Setelah kita bangun dan mengambil wuduk lalu terus mengerjakan sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat atau lebih dan mengerjakan sunat lain seperti sunat Tasbih, sunat Taubat, sunat Hajat dan sunat Witir.
Antara solat sunat yang biasa dikerjakan semasa qiamullail ialah:
1. SOLAT SUNAT TAHAJJUD
Pengertian Tahajjud ialah solat sunat apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar. Solat ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar.
Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar.
Solat ini dilakukan sekurangkurangnya dua rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyak yang termampu.
Cara Mengerjakannya
Lafaz niat:
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah taala.”
Bacaan
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al- Fatihah dan surah al-Kafirun
Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al- Fatihah dan surah al-Ikhlas
Selepas daripada salam hendaklah membaca doa ini:
Maksudnya:
“Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya.
Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya.
Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.
Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui.
Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
2. SOLAT SUNAT HAJAT
Solat Sunat Hajat bererti sembahyang untuk meminta sesuatu hajat yang tertentu.
Ia boleh dilakukan secara bersendirian mengikut hajat masing-masing dan boleh juga dilakukan secara berjemaah jika untuk niat yang sama.
Cara Mengerjakannya
Solat Sunat Hajat ini tidak ditentukan jumlah rakaat sebenar tapi biasanya dilakukan antara dua hingga dua belas rakaat.
Lafaz Niat:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Hajat rakaat kerana Allah Taala.”
Bacaan
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah satu kali dan surah al-Kafirun satu kali atau sepuluh kali.
Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al- Fatihah satu kali dan surah al-Ikhlas satu kali atau sepuluh kali.
Selepas memberi salam hendaklah membaca doa ini:
Kemudian pohon apa yang dihajat.
Apabila selesai berdoa, akhirir dengan selawat.
Insya Allah segala apa yang dihajati akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
3. SOLAT SUNAT TAUBAT
Solat sunat Taubat bererti sembahyang memohon keampunan dan taubat Nasuha daripada Allah SWT.
Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat.
Asas solat sunat taubat ini ialah:
i. Menyesal di atas segala perbuatan dosa yang dilakukan.
ii. Menyucikan diri daripada perbuatan dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat serta meminta ampun di atas apa yang telah dilakukan daripada Allah SWT, memohon maaf kepada manusia terhadap dosa yang berkaitan dengan harta benda, maruah dan jiwa. Mengqadhakan segala apa yang telah terluput seperti amalan-amalan sembahyang, puasa dan lain-lain sekadar yang termampu.
iii. Berazam tidak akan melakukan lagi segala perbuatan tersebut serta menjauhkannya.
Cara Mengerjakannya
Lafaz Niat:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”
Bacaan
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al- Fatihah dan surah al-Kafirun.
Pada rakaat yang kedua pula hendaklah baca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas.
Kemudian selepas salam bacalah wirid dan istighfar ini:
dan akhirnya bacalah doa yang biasa dibaca untuk memohon keampunan dan taubat daripada Allah SWT.
Doa taubat juga boleh dibaca secara beramai-ramai seperti berikut:
4. SOLAT SUNAT TASBIH
Lafaz Niat
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.”
Cara Mengerjakannya
i. Setelah membaca doa Iftitah maka bacalah al-Fatihah kemudian bacalah surah-surah yang difikirkan sesuai.
ii. Sebelum rukuk bacalah tasbih sebanyak 15 kali.
iii. Rukuk, selepas bacaan rukuk bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
iv. I’tidal, selepas bacaan i’tidal bacalah sebanyak 10 kali.
v. Sujud, selepas bacaan sujud bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
vi. Duduk di antara dua sujud, selepas membaca doanya bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
vii. Sujud kedua, selepas bacaannya bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
x. Sebelum berdiri hendaklah duduk istirehat dan bacalah tasbih sebanyak 10 kali, begitu juga selepas tahiyyat akhir sebelum salam. (Tasbih sebanyak 10 kali selepas tahiyyat awal sekiranya sembahyang itu dilakukan pada waktu siang hari.)
Doa selepas solat sunat tasbih
NOTA TAMBAHAN
Boleh juga dilakukan solat sunat lain ketika qimullail seperti Solat Sunat Witir dan solat Sunat Awwabin.
Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.
Cara mengerjakannya qiamullail yang lengkap boleh dirujuk melalui laman Facebook rasmi JAKIM di SINI.