Makan dan Minum Yang Halal dan Baik
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ وَقَالَ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya: 'Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.' Dan Allah juga berfirman: 'Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.'" Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang laki-laki yang telah lama berjalan kerana jauhnya jarak yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku." Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?." (HR Muslim No: 1686) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah tidak menerima sebarang amalan hambanya melainkan yang baik dan mengikut syarak.
2. Allah SWT memerintahkan kepada orang mukmin agar makan dan minum dari sumber yang baik dan halal.
3. ‘Allah SWT hanya menerima dari yang halal’ bermaksud bahawa memakan makanan yang halal boleh menolong dalam melakukan ketaatan kepada Allah kerana beramal soleh diperintahkan setelah perintah memakan makanan yang halal. Jadi, semakin baik makanan yang kita makan, semakin mudah pula kita dalam melakukan amal soleh. (Lihat bahasan Syaikh Solih Fauzan dalam Syarh Al Arba’in An Nawawiyah, hal. 163.)
4. Antara waktu yang makbul berdoa adalah ketika bermusafir. Walaupun begitu, Allah SWT tidak memperkenankan doa orang yang makannya, minuman serta berpakaian dari sumber yang haram.
5. Berkata Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah: "Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, maka perbaikilah makanannya".
Pastikan rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan baik.
07hb Okt 2020
19hb Safar 1442H