Anak Yang Sejuk Mata Memandang
1. Dalam al-Quran, Allah mendidik orang beriman supaya
sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sejuk mata memandang. Firman Allah:
وَالَّذِينَ
يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ
أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ
“(dan sifat hamba Allah itu) mereka
(sentiasa) berdoa: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami isteri-isteri dan
zuriat yang sejuk mata memandang.”
2. Apakah yang dimaksudkan dengan anak yang menyenangkan
mata memandang ini? Dalam memahami ayat ini, seorang sahabat Nabi bernama
al-Miqdad ibn al-Aswad mempunyai pandangan yang agak menarik.
3. Menurut al-Imam al-Tabari, seorang lelaki lalu dihadapan
Saidina al-Miqdad ibn al-Aswad, lalu memujinya. Lelaki itu berkata: “Beruntunglah
engkau (wahai Miqdad) kerana kedua matamu dapat melihat Rasulullah."
Saidina Miqdad tiba-tiba marah lalu berkata:
ما يدري لو شهده
كيف كان يكون فيه
“Sesungguhnya lelaki tersebut tidak
mengetahui (apa yang diucapkannya). Sekiranya dia menyaksikan (dan bersama
dengan dakwah Rasulullah), dia pasti tidak tahu bagaimana dia akan bertindak
(samada menerima dakwah Rasulullah atau tidak).” Bererti bukan mudah berada
dalam situasi bersama dengan Rasulullah. Silap-silap, kita juga menentang
dakwah.
4. al-Miqdad menerangkan mengapa dia marah dengan kata-kata
lelaki tersebut. Kata al-Miqdad: Sesungguhnya Rasulullah dibangkitkan kepada
satu kaum yang merasakan menyembah berhala adalah agama yang paling mulia.
Ketika Rasulullah datang, Quraysh terpecah kepada dua. Satu kumpulan yang
menerima dakwah, dan kumpulan lain menolak seruan Tauhid ini.
5. Ketika itulah kaum Muslimin diuji. Apakah mata mereka
akan tenang melihat anak-anak mereka kufur kepada Allah. Apakah tenang mata
anak muda Muslim melihat ayah ibu mereka kufur kepada Allah. Kata Miqdad:
فلا تقر عينه و
هو يعلم أن حبيبه
في النار
“Mata orang-orang beriman tidak akan
tenang melihat orang yang dicintainya itu akan berkesudahan di dalam neraka.”
6. Menurut al-Miqdad, inilah yang dimaksudkan oleh doa yang
diajarkan oleh Allah di dalam al-Quran itu tadi. Anak sejuk mata memandang
adalah merekq yang beriman kepada Allah dan melakukan amal soleh. Mata orang
beriman tidak akan tenang melihat anak mereka melakukan amalan yang membawa
mereka ke neraka.
7. Bererti, yang dimaksudkan dengan sejuk mata memandang itu
adalah anak-anak yang enak dilihat melakukan ketaatan. Orang Mukmin bukan
sekadar senang melihat anak mereka berjaya merangkul dunia, menjadi seorang
yang bijak atau jutawan yang berjaya sahaja.
8. Orang beriman hanya akan tenang melihat anaknya menjadi
anak yang soleh. Biar anak mereka tidak mewah/kaya, asalkan mampu menjadi anak
yang soleh. Doa anak yang soleh tidak boleh dibeli dengan dunia.
Semoga Allah mengurniakan kita anak-anak yang soleh, yang menyenangkan
pandangan mata dan hati.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
TQ Tuan Haji. Hamid